Pengalaman Menaiki Trak Luar Jalan Raya

Pengalaman Menaiki Trak Luar Jalan Raya

Pada 19 September 2018, aku diarahkan oleh penyelia frak untuk ke pengkalan SLB Nizwa mengunakan  trak luar jalan raya. Sudah 2 hari aku mengelak untuk menaiki trak kerana perjalanan menaiki trak tidak selesa serta mengambil masa yang sangat lama untuk sampai ke destinasi berbanding mengunakan pikap. Akan tetapi kelihatan keadaan penyelia frak seorang yang sentiasa ceria berada dalam keadaan tertekan dari pihak pengurusan maka aku mengalah dengan beliau.

Aku bersiap sedia diawal pagi dan mendapatkan sarapan di dewan makan pekerja. Aku perlu berada dalam keadaan siapsiaga kerana setelah pemandu trak selesai mengangkut muatan pam frak, beliau akan mulakan perjalanan ke Nizwa. Aku diberitahu oleh pembantu penyelia bahawa trak mereka akan siap memuatkan muatan sekitar jam 9 pagi. Akan tetapi atas kekangan di lokasi, trak hanya tiba di kem pada sekitar 10 pagi. Setelah berjumpa dengan pemandu trak, beliau mengatakan bahawa unit pegurusan perjalanan belum mendapatkan kelulusan perjalanan dan perlu tunggu selama 10 min.

 Jarak perjalanan kami dari kem Abu Tabul ke Nizwa adalah sekitar 700km dengan anggaran masa sekitar 7 jam. Ini adalah salah satu faktor, mengapa aku tidak mahu menaiki trak. Had laju di jalan digred hanya 50 km/j dan jalan tar adalah 70 km/jam. Ini adalah syarat had laju yang ditetapkan oleh Schlumberger (SLB) untuk ke semua jenis trak yang membawa muatan berat. Kami memulakan perjalanan untuk ke Nizwa sambil menunggu kelulusan dari pengurus yang memantau “Journey Management”. Unit pengurusan perjalanan ini berada di India dan memantau keseluruhan perjalanan kenderaan yang di bawah syarikat SLB.

Perjalanan di jalan digred sungguh tidak selesa dan amat perlahan. Keadaan jalan kurang rata walaupun hanya sedikit, akan menyebabkan trak berbuai dengan teruk. Jarak dari Abu Tabul ke Saih Rawl hanya sekitar 150km tetapi memakan masa sekitar 2.5 jam diatas kekangan had laju. Aku cuba berbual bersama pemandu trak seorang Singh dari India. Perbualan kami bagaikan ayam dan itik kerana beliau tidak berapa fasih berbahasa inggeris dan aku tidak tahu berbahasa hindi. Tetapi cukup untuk mengetahui beliau sudah berkeluarga dan sudah 3 tahun berkerja di Oman. Beliau adalah seorang pemandu yang berhemah dan sangat baik hati.

Setelah tiba di Saih Rawl dan keluar dari jalan digred ke jalan tar, pemandu trak behenti berehat selama 15min. Ini menjadi salah satu keperluan yang ditetapkan oleh unit pengurusan perjalanan untuk memastikan pemandu memdapat cukup rehat untuk pemanduan jarak jauh. Antara destinasi titik periksa dari Abu Tabul adalah Saih Rawl, Ghaba, Qarn Alam, Adam dan akhirnya di Nizwa. Aku bertanya pada pemandu di mana akan kita berehat untuk makan tengah hari, beliau memberitahu bahawa kita akan berhenti di Ghaba. Ghaba merupakan tempat titik periksa pemandu trak untuk menambah diesel serta makan tengah hari. Serta jika tiba di Ghaba lewat petang kebiasaannya pemandu akan berhenti di sini dan menyewa rumah tumpangan. Perjalanan pada waktu malam dilarang oleh SLB kerana risiko untuk mengalami kemalangan adalah lebih tinggi. Setibanya di Ghaba, aku memilih untuk makan makanan yang di pilih pemandu trak iaitu 2 keping roti, salad sayur dan kuah dal goreng. Setelah selesai, pemandu trak ini bekeras untuk belanja aku makan tengah hari. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.

Perjalanan memakan masa 7 jam, permandangan aku tidak berubah. Sama ada dikelilingi bukit pasir atau padang pasir yang gersang. Walaupun permandangan sungguh membosankan, aku tidak berani hendak tidur kerana takut jika pemandu trak juga terlelap. Ia boleh menyebabkan kemalangan yang teruk. Aku tiba di Nizwa sekitar jam 6.30 petang dan pemandu trak terus menghantar aku ke rumah tumpangan pekerja SLB di Firq, Nizwa. Ini adalah salah satu pengalaman yang tidak mahu aku ulangi di masa hadapan jika mendapat pilihan.

 

Facebook Comments

You might also like …